KOD ETIKA JURUAUDIT

​KOD ETIKA
JURUAUDIT DALAM
BAHAGIAN AUDIT DALAM, UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

1. TUJUAN
1.1 Pengenalan
Kod Etika ini adalah satu panduan terhadap tanggungjawab moral dan kewajipan akhlak setiap Juruaudit Dalam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi meyakinkan semua pihak terhadap integriti dan kredibiliti mereka.

1.2 Definisi
Kod Etika Juruaudit Dalam IPTA adalah merupakan dokumentasi mengenai tanggungjawab moral dan kewajipan tingkah laku bagi setiap Juruaudit Dalam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Kod dan Etika didefinisikan sebagai berikut:

i. Kod
Kod diertikan sebagai tulisan dengan tanda dan sebagainya yang mempunyai erti yang tertentu atau untuk menyampaikan arahan serta untuk mengenal pasti sesuatu tempat, objek dan sebagainya.

ii. Etika
Etika diertikan sebagai prinsip moral atau akhlak atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan.

iii. Juruaudit
Juruaudit diertikan sebagai kakitangan yang berkhidmat di Bahagian Audit Dalam UPSI.

 

2. KOD ETIKA JURUAUDIT DALAM
Berasaskan kepada tujuan dan definisi yang dikemukakan di atas, berikut adalah kod etika yang perlu ada pada setiap Juruaudit Dalam UPSI dalam menjalankan tugas-tugas pengauditan:-

2.1 Kepercayaan dan Keyakinan
Juruaudit Dalam UPSI hendaklah meyakinkan semua pihak bahawa mereka boleh dipercayai dalam melaksanakan kewajipan pengauditan. Bagi maksud tersebut, Juruaudit Dalam UPSI mestilah mempunyai tahap integriti yang tinggi dan nilainilai kejujuran, keikhlasan dan keluhuran dalam semua urusan supaya penilaian dan pandangan audit diterima dan diyakini pada semua peringkat pengurusan.

2.2 Profesionalisme
Juruaudit Dalam UPSI adalah bertanggungjawab untuk mematuhi semua tingkah laku profesional, mengekalkan piawaian pengauditan yang tinggi dalam merancang, melaksanakan tugas dan melaporkan penemuan audit. Juruaudit Dalam UPSI juga perlu peka dan mengikuti perkembangan serta perubahan semasa dalam piawaian pengauditan, perakaunan, pengurusan dan teknologi maklumat, bertujuan untuk meningkatkan tahap kompetensi berterusan dalam bidang pengauditan. Juruaudit Dalam UPSI juga hendaklah bebas, adil dan saksama dalam menjalankan kewajipan mereka tanpa ada unsur-unsur kepentingan peribadi serta pengaruh daripada pihak luar.

2.3 Kewibawaan
Juruaudit Dalam UPSI perlu ada inisiatif untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan, kreativiti dan kemahiran bagi memastikan peningkatan berterusan dalam kualiti kerja.

2.4 Disiplin Diri
Tahap disiplin diri yang tinggi perlu ada kepada setiap Juruaudit Dalam UPSI bagi mencerminkan keperibadian sebagai seorang yang profesional.Penerapan nilai-nilai murni pada diri dengan mengamalkan budaya bersyukur, bertanggungjawab, bersabar dan sesederhana serta menghindarkan diri daripada perilaku yang boleh menjejaskan imej dan nama baik profesion audit. Sebagai penjawat awam, Juruaudit Dalam UPSI hendaklahmematuhi arahan-arahan Kerajaan dan Pihak Berkuasa Universiti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab supaya kewajipan ini dapatdilaksanakan dengan sempurna.
Selain dari arahan-arahan khusus berkaitan pengauditan, arahan-arahan lain untuk penjawat awam seperti etika berpakaian, prosedur, protokol serta arahan-arahan pentadbiran hendaklah sentiasa dipatuhi. Juruaudit Dalam UPSI juga perlu mengaplikasikan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara apabila bergaul dan berurusan.

2.5 Kerahsiaan
Juruaudit Dalam UPSI tidak boleh mendedahkan semua maklumat yang diperoleh hasil daripada pengauditan yang dijalankan kepada mana-mana pihak yang tidak berkaitan sama ada secara lisan atau bertulis kecuali atas arahan pihak berkuasa Universiti. Semua sumber maklumat yang diperoleh hendaklah dikendalikan dengan penuh kerahsiaan.
Juruaudit Dalam UPSI mestilah bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan maklumat yang diperoleh dalam apa jua keadaan dan tidak dibenarkan sama sekali menggunakan maklumat-maklumat yang diperoleh untuk kepentingan peribadi ataupun demi kepentingan sesuatu pihak sahaja.

2.6 Tingkah laku
Juruaudit Dalam UPSI mestilah mempunyai tahap disiplin yang tinggi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti menepati masa, melaksanakan tugas dengan sempurna, sentiasa merancang tugas yang hendak dilaksanakan dan berhemah dalam berkomunikasi sama ada secara lisan atau bertulis.
Juruaudit Dalam UPSI adalah dilarang sama sekali daripada melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan peraturan Kerajaan dan boleh mendatangkan kesan negatif kepada Unit Audit Dalam, UPSI dan negara.
Juruaudit Dalam UPSI mestilah menghormati semua kakitangan, pelanggan dan auditi serta pendapat dan keputusan mereka. Budi pekerti dan akhlak yang baik perlu sentiasa diterapkan ke dalam diri agar dapat dilihat pada setiap masa.

2.7 Urus Tadbir Yang Baik
Pengauditan merupakan salah satu mekanisme bagi memastikan rangka kerja urus tadbir sesebuah organisasi berfungsi dengan baik. Untuk berperanan dengan lebih efektif, Juruaudit Dalam UPSI perlu mengamalkan urus tadbir yang baik dalam menjalankan tugas dan peka terhadap fungsi kawalan dalaman serta pengurusan risiko.